Arkib untuk 7 Disember 2009

Perodua Perbesarkan Kilangnya Di Rawang Menjelang Mac Tahun Depan

perodua alza

perodua alza


PETALING JAYA, 7 Dis (Bernama) — Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bercadang memperbesarkan kilang pengeluarannya yang berkeluasan 138 hektar di Sungai Choh, Selangor, menjelang Mac 2010.

Ini ialah untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat untuk pasaran eksport di masa akan datang, kata pengarah urusan, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar Isnin.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Perodua Alza di sini, beliau berkata sudah tiba masanya untuk syarikat menaik taraf kilang itu, lebih-lebih lagi dengan sambutan menggalakkan bagi tiga model kereta syarikat itu setakat ini.

“Kilang kami mesti dinaik taraf tahun depan. Terdapatnya ketidakcukupan kapasiti jika kami mahu mengembangkan pasaran eksport kami ataupun mahu mengeksport kenderaan pelbagai guna kami yang baru iaitu MPV Alza,” kata beliau kepada pemberita.

Kemudahan pengeluaran itu pada masa ini mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 250,000 kereta setiap tahun dengan dua pusingan syif.

Ia akan menempatkan antara lain, bangunan korporat Perodua, makmal ujian penyelidikan dan pembangunan serta studio penghias, trek atau litar ujian kenderaan, kilang pengeluaran, kilang enjin, kawasan pemeriksaan pra-penghantaran, lapangan stok agihan kenderaan dan rumah gudang alat ganti.

“Sebelum pelancaran Alza, kami menjalankan kajian kemungkinan dan sasaran untuk menjual 2,800 unit setiap bulan. Tetapi, kini, berdasarkan kepada sambutan, kami percaya jualan dengan mudah dapat mencecah 4,000 sebulan mulai Januari dan bulan-bulan seterusnya.

“Jadi, kini kami mahu menambah kapasiti kilang dan tanah tidak menjadi hal kerana kami masih mempunyai ruang yang luas untuk memperbesarkan kilang,” kata beliau.

Syed Abdull Hafiz juga berkata yang Perodua telah bersedia untuk mencapai penanda aras kualiti kumpulan iaitu 0.2 peratus kecelaan setiap kereta, bagi syarikat untuk berkembang ke seberang laut.

Beliau berkata syarikat telah menetapkan sasaran untuk mencapai 176,000 unit jualan pada 2010 berbanding 164,000 yang dianggarkan terdahulu untuk tahun 2009. Jika dicapai, angka bagi 2010 adalah yang tertinggi dari segi jualan dalam sejarah Perodua sejak penubuhannya pada tahun 1993.

Sehingga November 2009, Perodua mencatatkan jualan 151,000 unit dengan 53 peratus sumbangan dari Myvi.
tempahan kini 11000
Mengenai Alza, syarikat itu telah menerima sejumlah 11,000 tempahan setakat 4 November, dengan tempoh menunggu antara 2-3 bulan.

Setakat ini, 400 unit Alza telah didaftarkan dan syarikat menjangka kira-kira 50,000 unit akan berada di jalan raya pada 2010.

Meskipun dengan permintaan memberangsangkan untuk Alza, tempahan untuk Myvi dan ViVA terus menggalakkan pada November dengan masing-masing 10,000 dan 7,000 unit.

Menurut Syed Abdull Hafiz, Perodua bercadang memperkenalkan kereta kompak baru pada 2011 untuk mengukuhkan pasaran di dalam dan luar negara.

Sementara itu, empat pembeli bertuah Myvi, masing-masing memandu pulang Perodua Alza jenama baru premium 1.5L selepas mereka dipilih sebagai para pemenang utama peraduan “Myvi Moment”.

— BERNAMA